Archive for the ‘010 Sekolah Di Duyong’ Category

Sekolah Di Duyong

16/09/2009

Sekolah Di Duyong : Sekolah Kebangsaan Duyong

Setelah sekian lama mengajar di luar daerah. Akhirnya, Aki berjaya ditempatkan di sekolah yang terletak berhampiran dari rumah Aki.

Sekolah yang dimaksudkan ialah Sekolah Kebangsaan Duyong yang terletak di atas Pulau Duyong Besar, Kuala Terengganu. Berkemungkinan sekolah tersebut telah diberi nama baru iaitu Sekolah Kebangsaan Seri Duyong?

Namun, Aki terpaksa menggunakan perkhidmatan Bot Penambang dari Kampung Cina yang sekarang ini lokasi tersebut ialah Hotel Seri Malaysia. Pada masa itu, jambatan ke2 terpanjang di Malaysia belum dibina lagi (Jambatan merentangi Sungai Terengganu yang melalui Pulau Duyung).

Semasa Aki berulang dari rumah ke sekolah, Aki masih menggunakan Vespa hijau Aki dan kadang kala Aki menaiki Bas Losong tak pun menaiki kereta Morris Minor.

Aki macam biasa akan mengajar matapelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Matematik.  Salah seorang anak murid Aki yang terkenal sekarang ini bernama Wan, anak seorang pengembara Perancis yang berkahwin dengan nelayan dari Pulau Duyong tersebut. Wan sekarang ini bergerak cergas sebagai seorang pelakon iklan dan pelakon drama.

 

Adik Angkat Aki 

Jika dahulu sebelum Aki mengajar di Pulau Duyong, Aki selalu juga berehat di hentian bot penambang untuk mencari ilham dan ketenangan.

Suatu masa Aki telah bertemu dengan seorang pemuda yang menjual kain batik dari Kelantan. Namanya Mohd Nor bin Ibrahim. Beliau yang mempunyai RM17 sahaja di dalam poket mempunyai masalah untuk menyewa bilik hotel untuk meneruskan perjalanannya ke Kuantan.

Aki telah membawanya ke rumah dan perkenalan beliau telah mengeratkan talian silaturrahim sehingga sekarang ini. Beliau yang waktu itu masih bujang agak mesra dengan anak-anak Aki yang masih kecil terutama anak Aki yang ke4 yang masih merah lagi.

  

Ibu Kepada Wan Meninggal Dunia

Baru sehari dua Aki mengajar di Sekolah Duyong, Aki sekeluarga telah dikejutkan dengan berita kematian ibu kepada Wan.

Allahyarhamah meninggal kerana sakit tua. Ibu kepada Wan ini sudah lama menderita kerana lumpuh separuh tubuh dari pinggang ke kaki.

 

Gambar ibu kepada Wan: Allahyarhamah Siti Fatimah Binti Buyong

Wan pada masa itu dalam keadaan yang terdesak telah menyewa sebuah beca roda tiga. Kalau orang dahulu memangilnya teksi atau beca.

Dengan kurang pengalaman menaiki bot penambang, Wan redahkan juga muara Sungai Terengganu untuk ke Pulau Duyong untuk berjumpa dengan Aki untuk memberitahu perkhabaran yang menyedihkan ini.

Al-maklum, masa Aki dahulu, perkhidmatan handphone waemah talian telefon pun sukar dicari.

Akhirnya Wan berjaya berjumpa dengan Aki di sekolah dan kami berdua terus bertolak ke Raub pada hari itu juga dengan meninggalkan anak-anak di sekolah untuk diuruskan oleh atok dan nenek mereka.

Jika Aki kenangkan kembali, kenapa kemajuan sekarang tidak dapat dialami dan dirasai oleh orang-orang tua zaman dahulu? Talian telefon, perkhidmatan pengangkutan yang deras?

Itulah untungnya cucu cicit zaman sekarang kerana semuanya berada dihujung jari. Kalau nak hantar berita, cuma petik SMS, Kalau nak bergambar cuma hantar MMS, kalau nak kirim duit cuma click CIMB Click atau mana-mana bank. Kalau nak beli tiket cuma tempah melalui internet !

 

Aki Membeli Kereta Mitsubisi

Setelah beberapa lama Aki bertugas di Sekolah Kebangsaan Duyong, Aki telah membeli sebuah kereta second-hand dari jenama Mitsubishi Colt berwarna hijau.

 

mitsubishicolt2

Gambar Hiasan : Mitsubishi Colt yang Aki beli mempunyai 4 pintu. Plat pendaftaran kereta tersebut ialah CD660 yang boleh menggerakkan Aki sekeluarga pulang ke Raub.

 

Aki Mendalami Ilmu Akhirat Yang Sudah Dalam . . .

Semasa Aki bertugas di Pulau Duyong, banyak pengalaman manis Aki kutip terutama dari segi kekeluargaan dan ilmu agama. Walaupun Aki bukanlah seorang ustaz yang mengajar Pendidikan Islam, namun Aki banyak bertindak sebagai seorang ustaz di kalangan guru-guru dan penduduk kampung di sini.

Ramai bekas anak-anak murid Tok Pulau Duyong dan Tokku Paloh datang ke rumah bermuzakarah perihal Ketuhanan dengan Aki.

Ada di antara mereka langsung Aki tidak kenali namun akhirnya mereka memperkenalkan diri mereka saudara mara yang pernah berguru dengan guru-guru yang hebat itu.

Banyak persoalan-persoalan dibangkitkan dari usul syariat ke usul tarekat dan ada dari usul tarekat ke usul makrifat dan ada dari usul makrifat ke usul hakikat.

Ada yang mengajak Aki bermuzakarah dari perkara-perkara asal kejadian manusia, alam ghaib, alam lakut, alam malakut dan alam-alam yang tidak ramai orang yang berani untuk membincangkannya.

Tidak keterlaluan jika Aki katakan di sini, ramai di antara mereka yang jauh tua usianya daripada Aki, namun mereka tetap bersalam bercium tangan dengan Aki kerana pada mereka, Aki ada kelebihan seperti yang pernah mereka ketahui dari mahaguru-mahaguru mereka yang terdahulu.

Wallahhuaklam bissawab!

 

Pulau Duyong Pulau Bersejarah

Pulau Duyong ini banyak peninggalan sejarahnya termasuk peninggalan sejarah dari keturunan kita.

 

istanatokkupalohdiduyong

Istana Tokku Paloh di Pulau Duyong yang kedudukannya tidak jauh dari Mahaguru Tokku Paloh sendiri iaitu Tuan Guru Pulau Duyong dan istana ini juga dikenali sebagai sebahagian dari Kota Pulau Duyong.

 

Semasa Aki mengajar di sini, Aki banyak mengenali saudara mara dari keturunan yang sama dengan Aki dan ada juga di antara mereka adalah sepupu sepapat nenek moyang Aki dari keturunan Tokku Paloh sendiri dan Tuan Guru Pulau Duyong.

 

kawanduyung3

Di antara kakitangan Sekolah Duyong yang selalu menziarahi Aki dan bermuzakarah perihal keagamaan.

Isteri beliau (Mak Long Zaimah) sehingga sekarang senantiasa berhubung dengan keluarga Aki walaupun suaminya ini telah meninggal dunia selepas bertugas di tempat baru sebagai kerani di Sekolah Menengah Padang Midin, tempat anak Aki ke4 melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6 Rendah Aliran Sains (Kelas Terbaik Aliran Sains Seluruh Negeri Terengganu bagi Sekolah Bukan Berasrama Penuh)

 

Kapal Buatan Tangan Di Duyong

Di kesempatan itu juga Aki sempat melihat cara-cara teristimewa tukang-tukang kapal di sini membina kapal-kapal kayu secara tradisi.

buatkapalpulauduyong

Kapal buatan anak Pulau Duyong

 

Asal Nama Pulau Duyong

Betul ke nama asal pulau ini berasal dari seekor ikan duyong? Khabarnya pada masa dahulu kala, terdapat seekor ikan duyong sedang berjemur di pantai pulau ini. Kejadian tersebut telah dilihat oleh orang yang sedang bermudik tidak jauh dari situ. Dari peristiwa itulah nama pulau tersebut diberi nama.

Wahai cucu cicit Aki sekelian. Ada perkara yang berada di luar lingkungan akal kita itu sebenarnya ada dan benar.

Persoalan di sini, kenapa perlu kita bahaskan sesuatu perkara yang kita tidak pernah tahu dan tidak pernah lihat. Kenapa perkara yang kita lihat baru hendak percaya?

Kalau begitu, ramai di antara kita ini tidak percayakan wujudnya Tuhan kerana Tuhan itu tidak dinampakkan dengan mata kasar manusia?

Pun begitu, ramai di antara kita tidak percayakan alam ghaib kerana alam ghaib itu tidak dipertontonkan kepada mata kasar kita?

Segalanya wujud dengan kekuasaanNya. Bacalah dan carilah intipati ayat ke2 dalam Surah Al-Baqarah. Segalanya harus pada Tuhan Yang Maha Esa.

Kita sebagai insan, kalau tidakpun disebut manusia.. janganlah dipanggil orang kerana tahap lapisan keimanan kita berlandaskan tahap kepercayaan dan ilmu yang ditauhidkan daripadaNya untuk umat pilihan.