Archive for the ‘009 Sekolah Di Tepoh’ Category

Sekolah Di Tepoh

13/09/2009

Sekolah Di Tepoh Terengganu : Sekolah Bukit Nanas Dan Sekolah Gemuruh, Tepoh, Kuala Terengganu

Sekolah-sekolah ini letaknya kira-kira 27 KM – 35 KM dari rumah Aki.

Kalau di Bari, Aki menumpang teman sejawat tetapi setelah berpisah, Aki terpaksa menaiki bot penambang di Losong Feri dan menaiki bas ke Tepoh. Suatu perjalanan yang agak lama dan memenatkan. Kalau tidak menaiki bot penambang, Aki terpaksa menaiki bas ke bandar Kuala Terengganu dan menaiki bas ke sana dari stesyen bas yang sekarang ini menjadi stesyen teksi.

Bekas Stesyen Bas Kuala Terengganu menjadi Stesyen Teksi

Kalau diimbaskan, sebelah kanan gambar ini (suatu ketika dahulu) terdapat pelbagai gerai menjual makanan segera tradisional Terengganu seperti, keropok arab, dodol hitam, dodol hijau, keropok lekor rebus, buah-buahan tempatan, buah-buahan import dan sebagainya.

Kalau di sebelah kiri stesyen ini pula terdapat restoran dan juga tempat jualan tiket bas ekspres.

Kalau di sebelah belakang stesyen ini terdapat gerai berselerak yang menjual air tebu, air buah-buahan, keropok lekor goreng, pisang goreng dan sebagainya.

Kebiasaannya, sambil menunggu route bas nak balik ke Losong (ikut jadual setengah hingga satu jam sekali), Aki dan Wan selalu juga membeli mana-mana yang berselera untuk anak-anak di rumah.

Suasana begini sudah amat kurang didapati kerana penstrukturan bandar Kuala Terengganu. Makanya, berkuranglah penjual-penjual warung di sekitar bandar kerana dari pemerhatian Aki, warung-warung ala-Mamak dengan hidangan teh-tarik lebih menonjol terutama di sekitar stesyen bas baru. Nun jauh di pinggiran terdapat satu dua kedai yang menjual keropok lekor goreng dan air tebu.

Pesntrukturan semula stesyen bas memang memudahkan orang ramai untuk pergi dan pulang ke kampung masing-masing, waemah lebih bersih dan teratur. Namun, monopoli gerai-gerai keropok lekor goreng dan air tebu seolah-oleh dirampas oleh gerai-gerai ala-Mamak ini yang berkonsepkan teh tarik dan makanan berasaskan nasi.

Maka dari itu, ramai di antara mereka yang pernah Aki kenal (secara tidak langsung) menjadi penjual makanan segera di pasar-pasar malam dan tepi-tepi pantai Batu Burok.

Waemah, ada yang terus gulung tikar.

  

botpenambang

Gambar Hiasan: Bot Penambang yang menghubungkan Losong Feri dengan Bukit Tumbuh dan Bukit Datu untuk  Aki meneruskan perjalanan ke sekolah di Tepoh

 

Aki juga sempat menaiki feri suatu cara pengangkutan yang sudah tidak wujud lagi sekarang ini. Kemudahan Bot Penambang telah melenyapkan perkhidmatan feri ini.  Namun, sekarang ini Jambatan Kuala Terengganu pula menenggelamkan perkhidmatan Bot Penambang di Losong Feri.

 

feri

Gambar Hiasan : Perkhidmatan feri yang sudah lenyap dek zaman

 

Begitulah payahnya Aki menempuh perjalanan setiap hari untuk menjadi seorang guru.

 

Aki Membeli Skuter

Setelah sekian lama mengumpul duit, Aki berjaya membeli sebuah skuter Vespa. Dengan Vespa tersebutlah Aki berulang-alik ke sekolah.

 

vespa

Gambar Hiasan: Model Vespa yang pernah Aki miliki akan tetapi setelah Aki hantar untuk dibaiki di Losong Ebeng, macam-macam kerenah mekanik timbul sehinggalah Vespa tersebut tersadai begitu sahaja.

 

Ramai Belajar Agama Dengan Aki

Semasa berkhidmat di sekolah-sekolah tersebut, Aki berkenalan dengan ramai orang kampung dan kenalan yang juga anak murid ilmu agama ialah keluarga Wok dan Pok Kor (Abu Bakar).

Sepanjang perkenalan dengan orang kampung di sini, Aki banyak mendapat pelbagai cerita, peristiwa dan tidak kurang juga barangan pelik-pelik seperti ketam batu, orang ghaib, ular besar dan fosil-fosil lama yang dijumpai dari Bukit Jong dan kawasan sekitar.

Al-kisah, orang tua-tua pernah bercerita bahawa Bukit Jong merupakan sebuah Kapal / Tongkang Cina yang dipanggil dengan gelaran Jong oleh orang-orang lama telah disumpah oleh Sang Gelembai (Gedembai) menjadi sebuah bukit.

 

Cahayamata Keempat

Sehingga Aki berkhidmat di sekolah ini, Aki telah dikurniakan seorang lagi cahayamata;  iaitu anak ke4 seorang lelaki pada akhir tahun 1971.  Anak ke3 sebelum ini lahir pada tahun 1970. Sungguh comel dan sesungguhnya semua anak-anak Aki comel-comel belaka.

 

scan1013

Aki bersama Wan dan anak-anak bergambar untuk kenangan Hari Raya Aidil Fitri. Turut serta ialan adik sepupu Aki yang bertugas menjaga anak-anak Aki yang semuanya “pantang lepa”.

 

Kelas Tumpang

Aki telah membawa Along, Angah dan De’ untuk mengikuti kelas tumpang dengan menaiki vespa Aki. Kelas tumpang bermakna, pelajar belum cukup umur menumpang belajar di dalam darjah 1.

 

petitv

Gambar Hiasan: Aki membeli Peti Televisyen yang mengundang ramai jiran-jiran kampung berkumpul menonton siaran hitam putih di samping mendidik anak-anak tentang teknologi masa itu.

 

Akan tetapi Aki tidak membawa anak Aki yang keempat bersekolah di sekolah Aki. Anak Aki yang keempat ini agak advance pemikiran dan lasaknya jadi Aki ingin mencuba kepintaran dan kecerdasan azali beliau. Apa ketidaknya, belum bersekolah sudah khatam Al-Quran. Beliau sempat menggantikan guru mengaji untuk mengajar abang dan kakaknya.

 

Anak Aki Ke4 Ghaib

Dan sesungguhnya, sewaktu anak Aki yang berumur 3 tahun, ketika Aki membawanya ke Kampung Bukit Nanas, anak Aki ini telah diambil-lari oleh seorang lelaki tua berjubah putih yang diselimuti dengan cahaya kuning.

Anak Aki ini dipercayai telah dibawa berjalan-jalan ke alam ghaib oleh lelaki tua berjubah kuning ini untuk diperkenalkan di dunia sebelah sana.  Aki percaya walaupun tempoh masa dalam puluhan minit, mereka telah berjalan dalam suatu jangka masa yang lama di sana.

Nasib baik selang beberapa waktu, Aki berjaya mendapatkannya balik. . . Tetapi anak Aki ini berada di dalam keadaan agar terkejut dan sedikit penat.

Jadi, adalah lebih baik, anak Aki ini tidak diperkenalkan di kampung ini untuk mengelakkan kejadian berulang atau lebih teruk lagi.

 

aurakuning

Gambar Hiasan: Lelaki berjubah putih dalam cahaya kuning yang mengambil dan memimpin anak Aki ke4 ke alam lain.

 

Untuk tidak mensia-siakan kelebihan anak-anak Aki, terutama anak Aki ke4 kerana Aki tidak mengajaknya ke kelas tumpang ataupun tadika. Aki telah menempah buku-buku Bahasa Inggeris berjilid dari Singapura dan Aki telah memenuhkan kabinet buku dengan buku-buku yang mahal-mahal.

Alhamdulillah, mereka suka membelek-belek dan membaca. Sehingga sekarang, ada di antara buku-buku tersebut masih ada dalam simpanan.

Di antara buku-buku kulit tebal berjilid adalah The Science Library, The Children’s Classic dan macam-macam lagi.

Anak Aki yang ke4 ini juga mampu melihat sesuatu yang orang biasa tidak mampu lihat dan senantiasa menjadi perhatian orang ramai sama ada manusia berjasad ataupun tidak dan apa yang pasti, makhluk baik maupun jahat.

Sesunggunya, makhluk yang jahat juga akan senantiasa mencari peluang menggangu dan menguji beliau.

Seingat, ketika beliau berumur dalam 40 hari, beliau yang sentiasa tergelak akan tiba-tiba menangis jika ternampak seorang lelaki tua yang bernama Pak Hitam. Pak Hitam ini dipercayai bersahabat dengan belaan untuk menjadi gagah dan menjaga rumah beliau.

Apabila umurnya sedikit bertambah dan pandai berkata-kata, beliau senantiasa memberitahu Aki berkenaan dengan lembaga-lembaga baik ataupun jahat yang tidak kelihatan oleh mata kasar yang terpandang secara langsung olehnya. 

Di antara perkara yang teringat, beliau ada memberitahu Aki yang beliau ternampak sebujur tubuh lembaga perempuan yang serba putih dan bermuka pucat berambut pendek lepas ke bahu di belakang rumpun buluh di belakang rumah lama Aki selepas membuang air besar di tandas luar rumah.

Beliau juga ada memberitahu Aki yang beliau ternampak satu lembaga lelaki tua yang sedang bertenggek di batang kayu yang beru ditebang di hadapan rumah lama Aki yang sedang memerhatikan abang kakaknya bermain-main di halaman rumah pada waktu petang sebelum Asar.

Juga, beliau memberitahu Aki yang beliau ternampak tiga lembaga yang sedang terbang menuju ke Bukit Losong, dua di antaranya besar iaitu sepasang suami isteri dan satu di antaranya kecil iaitu anak kepada pasangan lembaga tersebut. Tidak lama kemudian, anak Aki ini memberitahu yang pasangan lembaga tersebut terbang meninggalkan anaknya di Bukit Losong dan berpatah balik ke arah Bukit Besar dari Bukit Losong.

Aki percaya kelebihan ini adalah kurniaan Allah taala kepada keluarga Aki dari titisan Rasulullah dan dari keturunan yang baik-baik dan hebat-hebat belaka.

Aki memohon dengan Tuhan yang maha esa untuk melindungi semua keluarga Aki serta keturunan Aki. AMIN. Allah Muhammad.

Namun begitu, anak Aki ke4 ini amat “buas” kata orang Terengganu. Pantang lepas, pasti berlari ke sana ke mari. Pernah berlaku satu kejadian di mana beliau telah berlari di jalanraya sehinggakan beberapa buah kenderaan terbabas mengelakkannya. 

Berkenaan pra-sekolah beliau, walaupun Aki tidak memberi pendidikan awal pra-sekolah tetapi anak bongsu Aki ini (waktu itu) telah mendapat tempat pertama di sekolahnya untuk keseluruhan Darjah 1 dan telah mendapat hadiah yang disampaikan oleh Adun Kuala Terengganu pada masa itu, iaitu Datuk Tok Teng Sai.

 

Aki Ditawarkan Anak Cina Yang Comel

Tidak lama Aki mengajar di Gemuruh dan Tepoh, nama baik Aki telah tersebar luas kerana menjadi resmi alam, kalau kita buat baik pada orang, orang pasti akan suka pada kita.

Ada satu cerita di mana Aki telah dilawati oleh seorang perempuan Cina yang agak susah. Perempuan Cina tersebut sedang memimpin seorang anak perempuan yang masih kecil. Agak-agaknya seumur dengan anak pertama dan anak ke2 Aki, 5 hingga 6 tahun.

Al-kisah, perempuan cina tersebut meminta Aki mengambil anaknya sebagai anak angkat kerana beliau amat susah dan tidak mampu memberi pelajaran yang terbaik untuk anaknya itu.

Gambar Hiasan: Anak Cina

Akan tetapi, Aki terpaksa menolak secara lebut agar kasih sayang anak tersebut tidak dipisahkan dari keluarga kandungnya. Namun begitu, ibu kanak-kanak tersebut reda dengan perpisahan tersebut dan mengizinkan jika anaknya itu diIslamkan mengikut kepercayaan keluarga yang membelanya.

Setelah panjang lebar memujuk dan bercerita perihal masa depan dan kepentingan anak Cina yang masih berada dipersimpangan itu. Akhirnya Aki telah memberi kata putus yang Aki tidak akan memutuskan kasih sayangnya. Namun, Aki tetap menganggapnya sebagai seorang anak walaupun Aki tidak membelanya, namun Aki akan memberi pengajaran sebagaimana anak-anak murid Aki yang lain.

Untuk tatapan cucu cicit Aki sekelian, kita hidup ini tidak kira bangsa atau agama, talian persahabatan itu tetap perlu dijaga dan talian kekeluargaan itu tetap perlu disanjung agar suatu masa nanti tidak akan timbul kekeliruan dan persengketaan.

 

Aki Didengki Tukang Kebun

Dalam setenang air di kali, belum tentu tidak ada olaknya. Begitulah juga dengan persekitaran di sekolah tersebut.

Tapi kalau dikira-kira dan dihitung-hitung, apa barang “?” didengki oleh si tukang kebun? Akan tetapi, tukang kebun pun orang juga, jadi hati orang manakan sama seperti rambut yang sama hitamnya.

Jadi, berhati-hatilah dengan khalayak ramai, kerana hati mereka tidakkan sama walaupun mereka itu dari bangsa dan agama yang sama.

Al-kisahnya ada seorang tukang kebun, sangat tidak berpuas hati dengan ketulusan hati Aki mengajar anak kampungnya. Maklumlah, Aki bukan ustaz agama, Aki adalah seorang guru Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris & Matematik.

Beliau khabarnya senantiasa mengeja keburukan Aki yang direka-rekanya kepada orang kampung dan di kalangan guru-guru. Entah, apa yang tidak disukainya tentang Aki?

Aki cuma biarkan sahaja, nanti pasti Allah akan laknaknya.

Dan sesungguhnya, tidak lama kemudian, Aki sewaktu berada di rumah yang dalam keadaan bersiap-siap ingin ke sekolah, telah diberi “alamat terus” yang sesuatu tidak baik telah berlaku kepada tukang kebun itu. Lantas, apa-apa yang berlaku Aki doakan agar anaknya tidak diapa-apakan.

Walhal pada masa kejadian, Aki tidak tahu pun yang tukang kebun tersebut membonceng skuter yang sama dengan anaknya … kebiasaan hari sekolah kot.. bawa anak ke sekolah naik skuter?

Sesungguhnya, tukang kebun itu telah mengalami kecelakaan jalanraya. Sewaktu beliau memboncengkan anaknya ke sekolah yang sama dengan sekolah Aki. Beliau telah terlanggar dengan seekor anjing yang melintas jalan, lantas skuter yang dinaikinya telah terbabas, terbalik dan kemalangan tersebut berlaku dengan dahsyat sekali.

Namun, dengan kuasa Tuhan, doa “terkejut” Aki tersebut telah menyelamatkan anaknya yang sedikit pun tidak tercedera, walhal dapat menolong ayahnya si tukang kebun yang tercedera parah sehinggakan skuter yang ditunggangnya rosak teruk.

Setelah Aki sampai ke sekolah, kejadian yang dialamatkan kepada Aki sewaktu di rumah tadi semamangnya benar-benar terjadi dan Alhamdulillah, anak tukang kebun tersebut yang juga anak murid Aki terselamat tanpa sebarang calit luka pun.

Setelah sekian lama, akhirnya tukang kebun tersebut telah datang berjumpa dengan Aki di rumah dan memohon maaf atas kecelakaan yang amat memalukan tersebut dan kejadian tersebut telah benar-benar menyedarkan dia.

Sesudah memohon maaf, tukang kebun tersebut memohon dengan Aki untuk belajar perihal keagamaan pula, namun Aki berdolak dalih yang Aki bukan orang yang pandai dalam perihal ketuhanan. Aki kan guru Bahasa dan Matematik! Aki memberi saranan untuk tukang kebun tersebut mencari tok guru yang lain.

Namun, dalam masa yang sama, Aki kira agak-agaknya sebeban juga Aki memberi syarahan berkenaan sikap dan perasaan hasadnya supaya perkara tersebut dibuang jauh-jauh dan memberi peluang kepadanya untuk membina dan mencari kebenaran untuk mensucikan hatinya yang zulmat tersebut.

Aki Beli Kereta Pertama

Tidak lama setelah masalah skuter Vespa tersadai di bengkel motor, Aki telah membeli sebuah kereta Morris Minor berwarna Hijau Tua dari seorang jiran yang juga bekas guru sekolah Aki. Kereta tersebut dibeli dengan harga beberapa ribu ringgit dengan plat pendaftaran M.

 

morisminor

Kereta pertama Aki merupakan Morris Minor yang membenarkan Aki membawa semua keluarga Aki berjalan-jalan bersama-sama

 

Aki Beli Sebidang Tanah Dan Menambahbaik Rumah Baru Aki

Dalam kesibukan mengajar, Aki secara rahsia telah membeli sebidang tanah di kawasan Gong Badak dari seorang lelaki tua dengan harga RM800 (harga lama). Beberapa tahun kemudian, tidak disangka-sangka ada orang ingin memajukan kawasan tersebut dan ingin membeli tanah Aki dengan harga yang tinggi. Aki telah menjual tanah tersebut dengan harga RM27,000.

Dengan duit tersebut, bolehlah Aki menampung perbelanjaan dalam penambahbaikan rumah baru Aki di hujung tanah milik Aki. Maka, tinggallah Aki bersama isteri dan anak-anak di rumah baru dua tingkat dan tinggallah ibu, ayah, Aishah (Zah) adik angkat sepupu dan Razak (Rojak) cucu ayah baru Aki di rumah asal.

Ini kerana ibu dan ayah Aki memberi pilihan kepada Aki sama ada Aki mahukan rumah (asal) atau memberikan tanah tapak rumah kepada Zah.

Namun Aki terpaksa berfikir panjang dengan memilih tanah tapak rumah yang seluah 4 lot tersebut dan menyerahkan rumah kepada Zah. Oleh yang demikian, Aki meneruskan hajat untuk membina dan mencantikkan rumah baru dua tingkat tersebut.

Setelah Aki menerima bahagian Aki dan Zah menerima bahagiannya, adakah Zah terus menganggap Aki abangnya atau terus melupakan keluarga baru Aki?

Kalau benar ikhlas dihatinya yang semenjak dalam 40 hari sudah Aki menjaganya; selayaknya beliau masih berkumpul bersama keluarga Aki sekarang ini bukannya . . .