Musim Cuti Sekolah

Musim Cuti Sekolah – Di Zaman Anak-Anak Aki Bersekolah Rendah

Semua anak-anak Aki dalam satu masa bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Losong.

Anak pertama dalam Darjah 6, anak ke2 dalam Darjah 4, anak ke3 dalam Darjah 3 dan anak bongsu ketika itu anak ke4 dalam darjah 1.

Lencana Sekolah Kebangsaan Losong

Walaupun mereka tidak bersekolah di sekolah tempat Aki mengajar, namun, itulah sekolah yang paling hampir dengan rumah Aki. Lagipun, mereka ada Tok Ki yang bekerja di Pasar Chabang 3 yang bersebelahan dengan sekolah mereka.

Namun apabila tiba musim cuti sekolah, semua anak-anak Aki terutamanya yang lelaki, pasti hebat dengan jadual masing-masing. Al-maklum, cuti sekolah zaman dahulu lebih kepada cuti penggal. Jadinya, cuti penggal memanglah cuti yang panjang.

Jadi macam-macam cerita mampu Aki kongsikan untuk cucu cicit sekelian dan mengenali lebih dekat lagi dengan ibu bapak kepada cucu cicit sekelian.

 

Musim Berkhatan.

Ha! Musim cuti sekolah bermakna musim berkhatan. Sekarang tiba giliran anak Aki yang sulung dengan adiknya yang ke2 untuk dilangsungkan proses berkhatan tersebut.

Along dan angah memang lasak, jadinya khatan mengkhatan ni langsung tidak menakutkan mereka. Waemah, gertakan kawan-kawan yang lebih dewasa yang mengatakan proses berkhatan ini memang menakut dan menyakitkan kerana mereka akan didudukkan di atas batang pisang dan tok mudim akan datang dengan misai cabang dan muka yang bengis sambil mengasah-ngasahkan parang, kalau tidak pun mungkin kapak !

Namun, mereka buat “derk” sahaja. Mereka tahu, mereka akan berkhatan secara agak moden dengan didudukkan di atas kerusi dengan tok mudim datang menyepit kulit lebihan dan memotong kulit lebihan tersebut dan mula menjahit supaya nampak lebih ganteng!

Mereka siap dengan kain batik ala orang kampung, al maklumlah, mereka akan berkhatan secara kampung. Akan tetapi, Aki pun terfikir, kenapa sejak dari zaman Aki lagi, kalau nak berkhatan mesti pakai kain batik sarung?

Kalau tidak silap Aki, mereka telah menempah teksi beca Pak Mat Bukit Losong untuk pergi dan balik dari berkhatan.

Anak-anak Aki yang Ke3 dan Ke4 agak rungsing dan ketakutan kerana abang-abang mereka yang gagah berani terutama abang yang sulung menangis kesakitan kerana luka yang berlebihan.

Kalau menangis sejam dua tak apa, inikan sampai dua tiga hari belum reda… ngeri!

Lama kelamaan selepas seminggu dua, mereka sudah hampir sembuh dan Aki jugalah terpaksa menanggalkan barut sunat mereka dan memotong benang yang tinggal.

Selang beberapa tahun selepas itu, anak Aki yang ke4 pula berkhatan. Namun, tidaklah seteruk abang sulungnya. Buang barut dan buang benang jahitan semuanya dilakukan sendiri.

Selepas beberapa belas tahun pula, anak Aki yang ke5 pula berkhatan. Semakin hari semakin canggih cara berkhatan dan semakin hari semakin cepat sembuh dan semakin hari semakin tidak sakit bila berkhatan.

Sesudah berkhatan, mereka ini agak lebih pemalu kerana masa dulu-dulu kalau mandi di telaga, pastinya tiada basahan…

Perbezaan paling ketara anak-anak zaman sekarang dengan anak-anak zaman dahulu ialah anak-anak zaman sekarang semenjak dari kecil lagi malu mandi berbogel. Kalau dahulu, sebelum berkhatan, mereka bebas mandi berbogel tetapi di kalangan adik beradik mereka sahaja.

 

Mencari Ikan Pelaga

Dahulu, tidak jauh di belakang rumah Aki  ada sebuah bendang sawah padi yang telah lama ditinggalkan. Bila tidak diusahkan, bendang tersebut tentulah berpaya dan menakung air. Jadinya, dijadikan rezeki, banyaklah anak-anak ikan seperti ikan puyu, sepat, anak keli, anak haruan dan tidak ketinggalan lintah, belut, ular air dan ular tedung menghuni bendang tersebut.

 

Gambar Hiasan: Zaman dahulu, orang kampung akan menggunakan kerbau untuk membajak.

Padi yang ditaman akan melayut tinggi sehingga 4 kaki.

Anak-anak Aki amat gemar bermain sorok-sorok di celah batas-batas sawah,

kerana ketinggian mereka lebih rendah daripada padi yang menguning.

Lama kelamaan, sawah sudah tidak dikerjakan maka tinggallah bendang tersebut

menjadi tempat petani mengikat lembu dan kerbau.

 

Hendak dijadikan cerita, banyak terdapat ikan pelaga yang berwarna merah, biru dan hijau membiak di bendang tersebut.

Anak-anak Aki yang lelaki pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk menangkap ikan pelaga; mereka memanggilnya ikan skila.

Mereka biasanya akan membawa bakul jaring yang Wan gunakan di dapur dengan plastik. Jika tidak ada plastik, pasti mereka akan mendapatkan daun keladi untuk mengisi “hasil” tangkapan mereka.

Mereka amat arif di dalam mencari ikan skila. Mereka cuma akan pastikan ada buih yang dihasilkan oleh ikan skila jantan dan disitulah mereka akan mula merauk dengan tangan ataupun dengan bakul mereka.

Kerja-kerja mencari ikan skila tidaklah menyulitkan mereka kerana bendang tersebut sudah ada batas yang menjadi pemisah di antara sawah-sawah. Mereka cuma akan melalui setiap batas dan mencari buih-buih yang dihasilkan di celah-celah rumput dan lopak-lopak air yang terhasil daripada kesan tapak kaki lembu dan kerbau.

Apa yang pasti, apabila mereka mendapat hasil yang memuaskan, mereka akan mencari botol kosong seperti botol nescafe atau botol sos tomato yang sudah dibersihkan untuk mengisi ikan-ikan pilihan mereka. Kalaulah ikan skila yang terbaik dan terkuat (kejohanan liga pelaga ikan skila), sudah pasti mereka akan mendapatkan botol atau bekas yang terbaik.

 

Gambar Hiasan: Ikan pelaga atau ikan skila kampung sedang beradu kekuatan.

“Permainan” mencari ikan pelaga ini boleh dikatakan bermusim atau dengan bahasa kampung, berpian (piang)

Apabila ikan pelaga Siam mula memasuki pasaran tempatan, maka tinggallah ikan pelaga kampung bersama dengan bendang untuk menunggu projek perumahan dan akhirnya seperti sekarang ini, belakang rumah Aki sudah tidak ada lagi bendang dan sawah padi. Semua tanah tersebut telah dipenuhi dengan sekolah baru iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Losong.

Pun begitu, padang bola yang terhasil daripada bentuk batas-batas sawah juga sudah tidak ada lagi. Lebih kurang puluhan tahun juga Kampung Losong tidak ada padang bola yang menjadi tempat membuang peluh anak-anak muda. Mungkin ini suatu sebab ramai anak muda kampung merantau ke luar negeri atau mungkin kerena ketiadaan pemuda kampung, aktiviti bola sepak kurang menyerlah di kampung ini.

Walaubagaimanapun, terima kasih kepada sekolah tersebut kerana membenarkan pemuda kampung beriadah menggunakan padang sekolah untuk meneruskan aktiviti petang hari.

 

Membuat Dan Bermain Wau

coming

Membuat Dan Bermain Bedil Buluh

coming

Bermain Dengan Kawan Sekampung

coming

Advertisements

Tags: , ,


%d bloggers like this: